RSS

Friday, March 19, 2010

GLOBALISASI DAN BELIA

Belia hari ini berada pada era yang amat mencabar. Cabaran ini didorong oleh banyak faktor. Faktor yang paling utama sekali ialah peredaran zaman itu sendiri. Dunia hari ini amat berbeza sekali berbanding beberapa dekad lalu. Pada hari ini, dunia yang kita diami dikenali dengan 'perkampungan sejagat' atau 'global village'. Mengibaratkan sebuah dunia yang besar ini sebagai sebuah perkampungan adalah gambaran realiti peredaran zaman yang sedang didepani belia Islam hari ini. Perkampungan dunia hari ini digerakkan oleh pelbagai arus. Satu daripadanya ialah oleh pencapaian manusia sendiri di dalam bidang perhubungan sama ada menerusi darat atau lautan. Namun, pencapaian yang paling mengesankan ialah pencapaian manusia di dalam bidang teknologi maklumat. Menerusi teknologi maklumat inilah seperti penciptaan komputer, telefon dan internet, manusia dari segenap pelosok dunia dapat berkongsi khabar dan berita hanya dalam sekelip mana.

Di samping berkongsi khabar dan berita, satu daripada perkara yang dikongsi bersama oleh masyarakat dunia ialah nilai dan kepercayaan mereka mengenai sesuatu perkara berkaitan urusan kehidupan di dunia ini. Urusan itu termasuk yang membabitkan ilmu pengetahuan, kebudayaan, sistem kenegaraan dan juga ideologi. Dengan bantuan teknologi maklumat dan perhubungan lebih baik, semua perkara yang dinyatakan di atas yang sebelum ini hanya dikongsi dan diketahui sekelompok perkumpulan manusia tertentu, kini sudah merentas sempadan daerah dan negara. Kedapatan sesetengah perkara atau amalan yang pada asalnya hanya berbentuk minat dan kesukaan sebuah kelompok masyarakat, kini sudah menjadi minat dan kesukaan yang dikongsi oleh seluruh masyarakat manusia.


Fenomena ini dikenali juga sebagai proses pensejagatan atau 'globalisasi'. Ia adalah suatu keadaan di mana nilai dan amalan yang pada asalnya suatu yang bersifat setempat bertukar menjadi satu pola atau fenomena sejagat. Oleh itu, beberapa istilah digunakan bagi menggambarkan fenomena kesejagatan dunia hari ini. Antaranya ialah seperti istilah 'generasi Pepsi-Cola' atau 'generasi Google'. Istilah ini memberi maksud akan kesejagatan produk minuman Pepsi dan Coca-Cola, serta produk carian internet iaitu Google yang dengan kehadirannya, dikenali dan dikongsi oleh hampir seluruh masyarakat dunia.
Fenomena kesejagatan dunia ini ialah realiti yang jelas akan peralihan zaman yang sedang didiami oleh belia Islam di negara kita hari ini. Apakah bentuk cabaran yang perlu didepani oleh belia di dalam berdepan dengan realiti peralihan zaman ini? Oleh Muhamad Razak Idris

Perkembangan yang pesat dalam teknologi komunikasi dan arus globalisasi telah mempengaruhi sistem komunikasi global. Jika satu ketika dahulu isu limpahan siaran melalui siaran penyiaran langsung (DBS), aliran berita antara negara yang tidak seimbang dan order baru maklumat dunia menjadi isu hangat dibincangkan dalam arena komunikasi, isu-isu ini kini tidak begitu diperdebatkan. Sebaliknya isu-isu komunikasi tanpa sempadan, masyarakat bermaklumat dan masyarakat berpengetahuan menjadi isu-isu baru yang memenuhi ruang diskusi di peringkat antarabangsa.

Globalisasi yang mula diperkatakan diakhir tahun 1980an dan tahun 1990an difahami sebagai usaha yang membabitkan pergerakan modal, manusia, barangan, maklumat dan budaya. Pada peringkat awal, pengerak globalisasi menganggapnya sebagai sesuatu yang baru, sukar untuk ditolak dan akan memberikan faedah kepada semua. Tetapi kemudiannya realiti menunjukkan bahawa globalisasi bukanlah sesuatu yang baru, tidak boleh ditolak malah tidak memberikan manafaat kepada semua (Jin, 2002). McGrew (1992:65) menggambarkan globalisasi sebagai “intensification of global interconnectedness”. Apa yang dimaksudkan oleh McGrew dengan peningkatan hubungan jaringan global adalah pada waktu ini sempadan negara tidak lagi menjadi rintangan dalam kehidupan kita. Hampir semua aktiviti sudah mula bergerak merentasi sempadan negara sama ada barangan, modal, manusia, pengetahuan, imej, jenayah, pencemaran alam, dadah, fashion dan juga kepercayaan. Keadah pergerakan itu berlaku dalam pelbagai cara, sama ada melalui jaringan hubungan antara peribadi, institusi, pengangkutan udara dan juga jaringan sistem komunikasi.

Proses globalisasi telah menjadikan dunia semakin kecil seperti mana metafora Marshall McLuhan (1964) yang mengatakan dunia sudah menjadi sebagai “Kampong Sejagat”. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pula telah menggunakan metafora “Jiran Global Kita” untuk menghuraikan konteks politik negara-negara dalam proses globalisasi ini. Apakah yang sebenarnya berlaku dalam proses globalisasi? Adakah dunia telah “mengucup” menjadi kecil atau pun kaki dan tangan kita sudah “memanjang” sehingga boleh menjangkau merata pelusuk dunia dengan mudah? Satu perkara penting yang merealisasikan proses globalisasi ini adalah perkembangan dalam teknologi komunikasi. Melalui jaringan sistem komunikasi seperti Internet, telefon, atau rangkaian television global dunia telah “dikecilkan” dengan memungkinkan hubungan yang merentasi sempadan negara dilakukan dengan begitu mudah sekali. Begitu juga halnya diperingkat individu dimana dunia menjadi semakin rapat kerana kita mempunyai peluang menggunakan alat teknologi kmunikasi untuk memperluaskan sempadan ruang “dunia tempatan” kita kepada dunia global.

Bagi kita di Malaysia walaupun bahang globalisasi belum dirasakan sepenuhnya tetapi bibit-bibitnya telah menjadi kenyataan. Kita tidak boleh lagi mengatakan Negara kita terasing daripada rangkaian hubungan globalisasi ini. Walaupun mempunyai perkhidmatan siaran televisyen satelit yang terhad, tetapi sama ada siaran itu secara langsung atau tertangguh, kita sudah dapat menikmati program daripada media global setiap hari. Kita bukan sahaja disajikan dengan maklumat politik, kewangan dan social daripada pelbagai tempat didunia melalui CNN dan CNBC tetapi juga berkongsi hiburan yang sama dengan penduduk dunia yang lain melalui filem-filem melalui rangkaian tematik televisyen seperti HBO, Cinemax, dan Star Movies. Begitu juga generasi muda terdedah kepada rancangan tematik musikal seperti MTV dan V Channel, selain daripada diperagakan dengan perisian program kanak-kanak daripada Disney Channel dan Nicoldeian. ( Samsudin A. Rahim)

Menurut pandangan pesimis, golongan ini melihat globalisasi hanya akan mewujudkan satu pembentukan orde baru media. Kesan globalisasi merupakan proses perkampungan sejagat hanya satu mitos, wacana berat sebelah dan tidak bersifat global. Pendominasian budaya dilihat dimonopoli oleh syarikat ekonomi gergasi yang sentiasa bersaing di antara mereka atau adakalanya mereka bekerjasama (Shiller, 1991 dalam Morley dan Robins: 1995:13). Globalisasi hanya perangkap intelektual untuk menyalurkan idea lama modenisasi dan “amerikansasi”.

Satu-satunya cabaran globalisasi yang perlu diperbahaskan di agenda paling atas adalah cabaran ke atas aspek sosial budaya. Cabaran ini adalah suatu persoalan yang sangat kritikal kerana sesudah terlerainya benteng sosio budaya sesuatu kelompok masyarakat belia dapat disempurnakan maka segala usaha untuk menerobos bidang — bidang yang lain akan menjadi lebih mudah. Golongan muda sebahagian besarnya sudah terheret di dalam proses globalisasi sosio budaya. Melalui pelbagai saluran, golongan belia akan menjadi dan terus menjadi sasaran utama globalisasi yang didalangi oleh syarikat-syarikat multinasional dan transnasional. Sesungguhnya tidaklah mengejutkan apabila sistem sosio budaya masyarakat muda kini sudah dirungkai sehingga segala nilai tradisi kita kini sedang melalui proses penghakisan yang amat ketara.

Adalah terlalu ketara untuk menafikan mengenai wujudnya keadaan di mana anak-anak muda semakin menunjukkan tanda tercabut dari akar budaya, bangsa dan agamanya sendiri. Dalam keghairahan untuk mengejari gaya hidup global yang ditandai oleh pelbagai ciri kehidupan barat, anak-anak muda kita secara umumnya kini sudah tidak merasa bersalah untuk meniru secara bulat budaya hidup barat. Kita dapat saksikan globalisasi budaya ini dalam pelbagai bentuk kehidupan golongan belia.

Pengamatan yang jelas dapat membuktikan fenomena di atas boleh disaksikan dengan insiden-insiden dan trend berikut:

  • Pakaian jenama barat
  • Makanan segera keluaran barat
  • Minuman global yang ditaja oleh barat
  • Hiburan yang menonjolkan budaya barat
  • Media barat yang semakin membanjiri masyarakat muda
  • Rekreasi yang meniru ala barat
  • Dunia lakonan dan pembikinan filem cara barat
  • Majlis-majlis sosial yang menonjolkan acara-acara ala barat
  • Produk rokok yang menajakan budaya hidup barat

Demikianlah antara fenomena globalisasi yang kini sedang mencabar seluruh jati diri golongan muda. Dari globalisasi kepada dominasi, golongan muda semakin terdedah kepada kehidupan dan nilai keperibadian yang terputus dan terpisah jauh dari budaya hidup timur.

Kita tidak mempunyai pilihan melainkan untuk meneliti secara kritikal dari implikasi globalisasi yang semakin rancak dan tidak terkawal. Golongan muda seharusnya berani untuk menyanggah arus globalisasi bagi memastikan jati diri kita yang sebenar tidak akan digadai. Hanya golongan muda yang mempunyai keberanian dan keyakinan diri bahawa sementara kita ingin berinteraksi dengan dunia luar kita tetap akan terus yakin dan tegas dalam mempertahankan kejatian diri kita. Tanpa kesedaran ini globalisasi akan menenggelam dan melemaskan golongan muda dengan nilai dan pegangan hidup yang sangat mengelirukan dan palsu.(UTUSAN PENGGUNA, NOVEMBER 1997, M/S 32)

Lantaran ini, menjadi tanggungjawab para belia kini untuk mendidik dan mempersediakan diri dengan pelbagai keupayaan yang ada. Tetapi bagaimanakah kaedah untuk mendapatkan persediaan yang benar-benar mantap? Mereka mestilah mengambil peluang yang sedia ada ini agar tidak menyesal di kemudian hari kerana menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tidak berguna lagi.

http://www.ippbm.gov.my/v2/index.php?option=com_rubberdoc&view=category&id=32&Itemid=25&lang=en

http://www.sabah.org.my/bm/nasihat/artikel_remaja/cbrn_global.asp

http://www.abim.org.my/component/content/article/21-e-akhbar-abim/416-tiga-cabaran-utama-menanti-belia-islam-zaman-globalisasi.html

1 comments:

Ahmad Naim said...

salam.selamat hari belia.semoga sentiasa dalam rahmat Illahi
http://ikhwankb.blogspot.com
http://malaysia.youthsays.com/ikhwankb/youth10

Post a Comment