RSS

Thursday, March 4, 2010

APLIKASI TEKNOLOGI OLEH BELIA

Belia merupakan generasi pelapis negara. Justeru itu golongan belia harus menguasai bidang sains teknologi untuk membangunkan negara supaya negara dapat bersaing dengan negara-negara maju yang berjaya dalam bidang teknologi. Sebagai usaha yang berterusan pihak kerajaan telah merealisasikan pelbagai inisiatif untuk membangunkan belia. Antara usahanya adalah dengan menubuhkan Majlis Belia Malaysia, Rakan Muda, Kelab Belia Unggul, Majlis Belia Negeri Perak dan Gerakan Belia 4B.


Menurut Ahli Parlimen Muar, Datuk Razali Ibrahim, belia perlu menguasai ilmu sains dan teknologi sekiranya mereka ingin mencapai kemajuan dalam hidup. Beliau juga menyatakan bahawa penguasaan teknologi perlu dipergiatkan supaya golongan belia mempunyai daya saing yang tinggi untuk berdepan dengan pelbagai cabaran pada masa depan. Beliau juga menekankan bahawa golongan belia harus bijak dan kreatif untuk menerokai teknologi serta menjadi pakar dalam bidang tersebut dan pada masa yang sama belia juga harus memastikan penguasaan itu bersesuaian dengan keperluan semasa dan masa depan.

Penguasaan belia dalam bidang sains dan teknologi amat diperlukan kerana ia merupakan antara bidang terpenting dan semakin menguasai pasaran pekerjaan semasa. Penguasaan ilmu khususnya dalam bidang ini amat penting untuk menjadi masyarakat yang maju dari pelbagai aspek bagi membolehkan mereka bersaing di peringkat yang lebih tinggi. Selain itu juga, penguasaan ilmu sains dan teknologi amat diperlukan dalam kehidupan dan golongan belia wajib menguasai bidang ini demi memastikan negara dan bangsa Malaysia lebih maju dan setaraf dengan bangsa-bangsa lain di dunia.

Belia bukan sahaja perlu menguasai bidang tersebut tetapi pada masa yang sama, perlu kreatif dan inovatif dalam mempraktikkan kemahiran mereka dalam bidang berkenaan sebagai usaha mengekalkan pencapaian cemerlang negara. Walaubagaimana pun penglibatan belia dalam bidang ini sahaja tidak mencukupi untuk melayakkan belia menguasai ilmu sains dan teknologi tetapi belia perlu kreatif dan inovatif dalam menghasilkan ciptaan sains dan teknologi. Apabila keadaan ini berjaya dicapai barulah mereka boleh dikatakan sudah mampu menguasai bidang tersebut.

KEMAHIRAN ASAS PENGUASAAN TEKNOLOGI

Belia wajar melengkapkan diri dengan kemahiran yang tinggi, berketrampilan, di samping bersahsiah terpuji demi meneruskan kecemerlangan dan kegemilangan bangsa serta negara. Keutuhan sesebuah negara dilihat daripada kekuatan golongan pelapis yang bakal menjadi penentu di dalam memastikan kelangsungan sesebuah negara untuk terus maju dan membangun. Justeru, bagi memastikan masa depan negara sentiasa dinamik dan proaktif, pendedahan terhadap keperluan menguasai ilmu serta kemahiran dalam bidang sains dan teknologi kepada golongan belia ini sudah tentu dapat melahirkan belia pewaris negara yang setaraf dengan negara berteknologi tinggi seperti negara Jepun. Berpadanan dengan saranan kerajaan, golongan ini wajar memperkasakan diri dengan pelbagai kemahiran yang dapat menjana kecemerlangan dan merealisasikan impian untuk menjadi negara yang ´cemerlang, gemilang, dan terbilang´ .

Jika diteliti semula, teras pembangunan belia di dalam Rancangan Malaysia Ke-8 (RMK-8) adalah untuk melengkapkan belia dengan pengetahuan serta kemahiran dalam bidang sains dan teknologi bagi membolehkan belia menghadapi halangan dan menyesuaikan diri dengan pembangunan ekonomi yang pesat selari dengan era globalisasi. Salah satu strategi utama bagi memastikan negara berkemampuan menghadapi cabaran globalisasi dan mengekalkan pertumbuhan ekonomi adalah dengan mewujudkan asas sumber manusia dinamik, kreatif, inovatif dan proaktif yang dapat menyokong pembangunan ekonomi berasaskan pengetahuan sains dan teknologi sekaligus dapat meningkatkan produktiviti dan daya saing negara.Keutamaan di sini adalah bagi menyediakan lebih ramai tenaga kerja yang mempunyai pengetahuan, kepakaran,dan kemahiran dalam bidang teknologi yang tinggi. Mantan Perdana Menteri, Tun Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pernah menyebut bahawa golongan belia perlu memperkasakan diri serta tenaga muda mereka bersandarkan tiga paksi utama iaitu kepimpinan, kemahiran, dan keusahawanan (3K) bagi membangunkan negara. Usaha itu perlu dilakukan dengan melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan.

Proses pengumpulan kemahiran juga harus bergerak secara seiring dengan pembentukan dan memupuk nilai-nilai kepimpinan. Setiap belia haruslah sentiasa peka dan bijak mengambil peluang yang ada disekelilling mereka supaya bidang teknologi dapat dikuasai.Kejayaan dasar Pandang Ke Timur yang diilhamkan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohammad dengan mengambil contoh kejayaan negara-negara jiran yang maju seperti Jepun dan Korea merupakan satu contoh teladan terbaik yang patut diadaptasikan oleh golongan belia dalam usaha menambahkan kemahiran yang ada.

Modus operandi yang digunakan oleh negara-negara jiran ini adalah dengan mempelajari ilmu, teknologi dan kemahiran negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan Jerman yang sememangnya terkenal dengan kemahiran dan teknologi tinggi. Ilmu, teknologi, dan kemahiran yang diperoleh ini bukan sahaja digunapakai, malahan juga digabungkan dengan idea kreatif dan inovatif mereka menjadikan apa yang telah diperolehi daripada pembelajaran dan pemerhatian mereka itu mampu menghasilkan sesuatu produk dengan hasil kerja yang lebih baik dan berdaya saing. Modus operandi ini jugalah yang perlu diterapkan kepada belia negara. Golongan belia juga disarankan untuk memiliki daya pemerhatian tinggi disamping memupuk minat mereka terhadap sebarang pekerjaan yang dilakukan.

Langkah penswastaan yang dipraktikkan oleh kerajaan secara tidak langsung merupakan salah satu peluang keemasan bagi golongan belia di mana langkah ini turut dilihat mampu menyediakan peluang pekerjaan yang sebahagian besarnya memerlukan serta menawarkan kemahiran baru kepada golongan belia di samping penggunaan teknologi yang lebih canggih. Badan-badan yang diswastakan juga turut serta bekerjasama dengan kerajaan dalam melaksanakan program-program yang bertujuan melatih belia bagi menambahkan kemahiran yang sedia ada disamping meningkatkan keupayaan dan daya saing mereka.

Kemahiran akan membuka ruang kepada belia mempelajari pelbagai kemahiran teknologi yang tidak terhad hanya kepada ruang lingkup yang sempit sahaja. Kemahiran di sini ialah kemampuan menguasai dan mempraktikkan ilmu dan teknologi yang dipelajari secara berkesan dan profesional dalam suasana pekerjaan sebenar sama ada dalam keadaan santai mahupun dalam keadaan tekanan yang tinggi. Selain memiliki ilmu dan kemahiran, belia juga haruslah mempunyai semangat keusahawanan. Semangat keusahawanan yang dimaksudkan ialah dimana belia bukan sahaja mampu memberikan pekerjaan kepada dirinya sendiri malahan secara tidak langsung turut berupaya mewujudkan peluang pekerjaan.Kerajaan telah membuka pelbagai peluang kepada belia bagi menambahkan ilmu dan kemahiran mereka dalam bidang keusahawanan antaranya dengan program latihan keusahawanan termasuk program pembangunan vendor dan francais. Institut Keusahawanan Negara (IKN) turut diwujudkan sebagai pusat untuk menjalankan perancangan strategik mengenai keusahawanan, risikan pasaran, Research and Development (R&D). Kewujudan Institut Kemahiran Mara (IKM) juga antara lain berperanan memberikan kemahiran kepada golongan belia, khususnya belia luar bandar menerusi latihan-latihan dalam bidang yang dilihat berpotensi dibangunkan antaranya kemahiran membuat perabot, tekstil, hiasan dalaman, lanskap, dan sebagainya.

Di Malaysia sahaja, 11 juta orang yang berumur antara 15 hingga 40 tahun yang dikategorikan sebagai golongan belia ini jika dijana dengan berkesan dengan ilmu dan kemahiran teknologi yang dilihat dapat memenuhi sektor kritikal, tuntutan tenaga buruh yang diperlukan negara dapat dipenuhi lantas mengurangkan kadar kebergantungan negara terhadap buruh asing dalam menghasilkan sesutu produk yang kreatif dan inovatif. Penggunaan teknologi baru telah meningkatkan produktiviti dengan penggunaan tenaga manusia yang minimum dan secara langsung mengurangkan kos buruh seunit serta meningkatkan tahap daya saing negara.

Sistem pendidikan dan latihan yang ada merupakan modul yang berkesan bagi memastikan belia negara dapat memenuhi keperluan pengetahuan dan teknologi baru bagi merangsang pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan daya saing. Menerusi sistem pendidikan inilah usaha memupuk daya cipta dan kemahiran kognitif untuk melahirkan tenaga manusia yang tinggi pengetahuan, mempunyai pelbagai kemahiran dan mempunyai kecekapan di dalam bidang keusahawanan dan teknologi tinggi terkini terutama sekali yang berkaitan dengan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT).

Demi mencapai matlamat tersebut pembelajaran sepanjang hayat harus dijadikan sebagai satu gaya hidup supaya golongan belia ini tidak ketinggalan untuk sentiasa mempunyai kemahiran teknologi terbaru. Anjakan paradigma ini adalah merupakan suatu keperluan bagi mengajak belia melihat kemahiran teknologi sebagai sesuatu yang perlu untuk berjaya dalam hidup.

RUJUKAN
http://www.utusan.com.my
http://bobex.wordpress.com

0 comments:

Post a Comment